Siaran Akhbar dan Foto : Yakin Football League
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 12 Jun. - Kejohanan Cabaran Bola Jaring Yakin 2026 menjadi platform terbaik untuk mencungkil bakat dan meningkatkan prestasi para pemain bola jaring di negara ini.
Kejohanan berkenaan telah dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yakin Football League (YFL), Dayang Hernah Nur Imani binti Haji Muhd. Jeffrey, bertempat di Forum Building, Gadong.
Kejohanan yang mendapat sokongan daripada Persatuan Bola Jaring Brunei (BNA) berkenaan menyaksikan sebanyak 14 pasukan menyahut cabaran kejohanan sekali gus menggambarkan sambutan yang positif terhadap perkembangan bola jaring di negara ini.
Pemangku Pengurus Am YFL, Awangku Mohd. Adam Zikry Pengiran Zamri berkata, YFL telah membuka lebih banyak ruang dalam memperkembangkan dimensi sukan di negara ini dengan julung kalinya menganjurkan kejohanan sukan popular wanita.
Jelasnya, kami yakin kejohanan berkenaan akan membantu para pemain berpotensi untuk menyerlahkan bakat mereka sepanjang cabaran berkenaan diadakan.
Menurutnya lagi, YFL menerusi Yakin Sports sentiasa berusaha meningkatkan pembangunan sukan di negara ini sebagai sebahagian daripada komitmen untuk memperkembangkan pelbagai jenis sukan.
“Semua pasukan diharapkan agar memberikan komitmen terbaik, mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan, serta menjunjung tinggi nilai hormat-menghormati dan semangat 'fair play' sepanjang kejohanan berlangsung," ujarnya lagi.
Hadir menyaksikan majlis berkenaan, Pengerusi YFL, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang; dan Setiausaha Agung BNA, Dayang Hajah Nurmah binti Haji Jumaat.
Pada majlis berkenaan, Dayang Hernah Nur Imani turut menyampaikan sijil penghargaan kepada BNA atas sokongan dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan kejohanan berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YFL pula menyerahkan jersi rasmi pasukan Yakeen Netball Club yang akan menyertai kejohanan berkenaan pada hujung minggu ini.